Friday, September 19, 2008

RAMADHAN: PROSES MENGEMBALIKAN FITRAH SEMULAJADI MANUSIA

Mengapa Hari Raya Aidil Fitri dinamakan juga Hari Raya Fitrah?
Kerana hari itu hari di mana manusia keluar dari Ramadhan membawa diri yang suci bersih lahir dan batin, sebagaimana fitrah semulajadinya. Sebab latihan-latihan ibadah yang diperintahkan di dalam bulan Ramadhan, kalau dilaksanakan mengikut displin syariat lahir dan batinnya mampu mengembalikan manusia kepada fitrah murni, sama seperti mana ia mula-mula dilahirkan ke dunia. Sabda Rasulullah SAW: Terjemahannya: Manusia dilahirkan dalam keadaan suci bersih seperti kain putih. Ibubapanyalah yang menjadikan Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Fitrah manusia sewaktu baru datang ke dunia, yakni sebelum diracuni oleh kesesatan dan maksiat, adalah bersih dari segala kejahatan lahir dan batin. Hati manusia asalnya atau fitrahnya adalah baik, menyintai kebaikan, kenal dan taat kepada Allah SWT. Sebab hati memang mengaku yang dia adalah hamba Allah. Hati tidak setuju kalau dia dikatakan hamba syaitan, hamba nafsu, hamba betina atau lain-lain selain Tuhan.

Benarlah Allah berfirman:Â Terjemahannya: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab: Ya, kami menjadi saksi (Engkaulah Tuhan kami). (Al- A'raf: 172)

Demikian pengakuan roh sewaktu belum dilahirkan ke dunia, yakni ketika dihadapkan ke hadrat Allah. Roh (Hati) waktu itu kenal Allah dan mengaku hamba-Nya. Tapi bila tiba ke dunia yang fana ini, roh disaluti nafsu dan syaitan dan dipengaruhi oleh segala macam tipudaya kenikmatan dan kelazatan dunia, maka jadilah ia derhaka dan lupa pada Tuhan yang sebenar yakni Allah SWT.

Lalu manusia bertuhankan Tuhan-Tuhan selain Allah sama ada sedar atau tidak. Umat Islam, sekalipun mengaku Allah Tuhannya, tapi dalam tindak-tanduknya, mereka bertuhankan hawa nafsu. Amalan lahir, apalagi amalan batin yang mereka lakukan adalah perbuatan-perbuatan yang diperintahkan oleh nafsu. Firman Allah :
Terjemahannya: Maka pernahkah engkau perhatikan orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya? (Al-Jaathiah: 23)

Tamak haloba, cinta dunia (hingga lupa Akhirat), gila pangkat dan sanjungan hingga tergamak tindas-menindas dan zalim menzalimi, sombong, bongkak, angkuh, takabur hingga hilang timbang rasa dan belas kasihan sesama manusia, berdengki, berdendam hingga sanggup fitnah memfitnah, umpat mengumpat, mengadu domba, mengampu dan menjilat. Bakhil atau kedekut hingga terjadilah si kaya bertambah kaya, simiskin makin merempat, mementingkan diri sendiri dan menyalahgunakan kuasa hingga tergamak melihat dan membiarkan kesusahan yang ditanggung oleh orang lain. Kecewa, putus asa, membazir. ltulah di antara kejahatan manusia dengan sesama manusia kerana bertuhankan nafsu. Dengan Allah lebih-lebih lagi kejamnya manusia ini.

Hatta dengan ibu bapa, dengan guru-guru dan dengan orang-orang yang sudah berjasa padanya pun, manusia susah begitu derhaka sekali. Kata-kata atau perintah Allah dipersoal dan dipersendakan, sebaliknya larangan Allah dilakukan dengan terang-terangan dan berleluasa. Inilah yang dikatakan syirik khafi. Alangkah kejamnya manusia akhir zaman ini!
Manusia yang mati dalam keadaan fitrahnya begitu kotor dengan mazmumah, bererti mati dalam derhaka pada Allah. Allah mengingatkan ini dengan firmannya: Terjemahannya: Di hari harta dan anak-anak tidak berguna melainkan orang-orang yang mengadap Allah dengan hati yang selamat. (As- Syuara: 88-89)

Kalau begitu wajiblah kila melakukan amalan-amalan yang boleh membersihkan hati kita. Amalan berpuasa adalah amalan yang sebaik-baiknya. Sebab itu Allah mewajibkan kita berpuasa di bulan Ramadhan sebulan lamanya. Puasa yang dilakukan dengan sebaik-baiknya, akan dapat mengembalikan manusia kepada fitrahnya. Hal ini berlaku kerana sepanjang Ramadhan kita mengerjakan amalan-amalan berikut:
1. Puasa
2. Mujahadatunnafsi
3. Sembahyang sunat Terawih
4. Mengeluarkan zakat fitrah dan sedekah
5. Membaca Al Quran
Semua ibadah ini adalah tarbiah atau pendidikan yang boleh membuang sifat-sifat yang jahat. Kemudian menggantikannya dengan sifat-sifat fitrah yang murni. Dengan kata lain, dapat membuang sifat mazmumah untuk diganti dengan sifat-sifat mahmudah.

Proses itu berlaku seperti berikut:
1. Berpuasa ertinya menahan keinginan nafsu untuk makan, minum dan nafsu syahwat. Perbuatan ini boleh mendidik manusia menjadi seorang yang sabar dan redha. Maknanya, manusia itu boleh tahan kemahuan-kemahuan nafsunya dari melakukan hal-hal yang ditegahkan oleh Allah SWT. Seorang yang boleh sabar dalam menghadapi segala masalah hidup, nescaya akan beroleh keuntungan dunia dan Akhirat. Dan Allah pun menjanjikan pahala tanpa hisab untuk orang-orang yang sabar. Firman-Nya:Â Terjemahannya: Sesungguhnya dibalas orang-orang yang sabar itu pahalanya tanpa hisab. (Az-Zumar: 10)

Puasa juga akan mendatangkan rasa timbang rasa terhadap orang-orang yang susah. Lapar dan haus yang kita tanggung kerana puasa, akan memahamkan kita bahawa demikianlah deritanya orang-orang miskin dan anak-anak yatim. Apa hal kalau kita ditimpakan nasib yang sama? Tentu kita tidak sanggup. Kalau begitu berlaku baiklah terhadap mereka itu. Hiburkanlah mereka itu. Dengan itu moga-moga Allah melepaskan kita dari kesusahan hidup dunia dan Akhirat.

2. Sebulan Ramadhan kita didisplinkan oleh syariat supaya membanyakkan mujahadah melawan hawa nafsu dan syaitan. Yakni tidak menurut kehendak keduanya. Selain dari nafsu makan minum dan nafsu kelamin, di hari siangnya, kita juga diperintahkan melawan mazmumah-mazmumah yang lain seperti. bakhil, ujub, sombong, marah, dengki, tamak, cinta dunia, berburuk sangka, mengadu domba, mengumpat, mementingkan diri sendiri, memutuskan silaturrahim dan lain-lain lagi. Seorang yang berpuasa tetapi mengekalkan kejahatan-kejahatan lahir dan batin, tidak akan mendapat apa-apa faedah, selain lapar dan dahaga. Demikianlah maksud hadis:Â Terjemahannya: Berapa banyak orang yang puasa tapi tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat An Nasai)

Itu maknanya kita diarahkan untuk memberhentikan kejahatan-kejahatan nafsu itu. Yakni dengan melakukan mujahadatunnafsi. Seorang yang berjaya melawan nafsunya, sekaligus dapat juga melawan syaitan. Sebab nafsu adalah laluan penting (highway) bagi syaitan. Bila kedua-dua musuh batin itu ditewaskan, jadilah nafsu itu, nafsu yang taat setia pada Tuhan, maka manusia akan kembali pada fitrah murninya. Yakni berakhlak mulia. Dan itulah kemenangan yang hakiki. Firman Allah: Terjemahannya: Beruntunglah orang-orang yang membersihkan jiwanya. Dan rugilah siapa yang mengotorinya. (As-Syams: 9-10)Â

Tuhan memuliakan jiwa-jiwa yang suci ini dengan firman-Nya:
Terjemahannya: Wahai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah). Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku. (Al-Fajr: 27-30)

3. Sepanjang Ramadhan kita telah mengerjakan sembahyang sunat terawih pada tiap-tiap malam 20 rakaat selama 30 malam. Ertinya kita telah melebihkan sembahyang sunat sebanyak 600 rakaat pada bulan Ramadhan ini. Sembahyang ertinya mengingati Allah, bercakap-cakap dengan Allah, meminta dengan Allah, mengharap pada-Nya, merasa kehambaan diri, rasa terhina dan rasa hebat pada-Nya. Setiap kali berdiri, rukuk dan sujud, kita berjanji dan bersumpah untuk hidup dan mati dalam mengabdikan diri hanya pada Allah. Dan kita katakan juga yang kita mahu jalan yang lurus, jalan Nabi-Nabi dan orang-orang soleh, bukan jalan orang-orang kafir, Yahudi dan Nasrani. Begitu sembahyang membawa kita mendekatkan keinginan untuk jadi rijalullah (orang Allah).

Kalau benarlah kita jujur dalam sembahyang, 600 rakaat tarawih itu benar-benar telah boleh mengubah kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Yakni menjadi orang yang cinta Allah, lebih daripada yang lain, membesarkan akhirat lebih daripada dunia, suka dan sayang sesama mukmin, tegas dan keras dengan kekafiran dan maksiat, pemurah, berbaik sangka dengan manusia, sabar dalam ujian, syukur dengan nikmat, redha dengan takdir, membanyakkan amalan amal soleh, taat suami, bertimbang rasa dengan isteri, memuliakan ibu bapa, kasihkan guru, setia pada pemimpin dan lain-lain lagi kebaikan yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul. Sembahyang akan memimpin, mendidik dan mengingatkan kita agar menjadikan Allah matlamat hidup. Dan menolak segala bisik hasutan nafsu dan syaitan terkutuk. Allah berfirman:Terjemahannya: Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. (Al-Ankabut: 45)

Firman Allah lagi:
Terjemahannya: Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyang. (Al- Mukminun: 1-2) . Seterusnya Allah berfirman, Terjemahannya: Jadikanlah sabar dan sembahyang sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya sembahyang itu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.(Al-Baqarah: 45)

Demikian besarnya peranan sembahyang dalam membentuk akhlak yang mulia. Siapa yang benar-benar sembahyang nescaya sudah merasai hasil yang dijanjikan oleh Allah itu.

4. Di dalam bulan Ramadhan kita diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah, dan digalakkan membanyakkan sedekah. Ertinya kita disuruh berlaku pemurah, bertimbang rasa pada orang-orang susah dan berkasih sayang dengan mereka. Orang yang dapat menghiburkan saudara se-Islam, nescaya Allah akan hiburkan dengan Syurga di dunia dan Akhirat. Seorang yang hanya beribadah dengan Allah, tapi tidak berbaik-baik dengan hamba-hamba Allah, belumlah terjamin kebahagiaan hidupnya di dunia dan di Akhirat. Kerana itu di bulan Ramadhan, Islam mendidik kita untuk banyak memberikan harta kita pada jalan Allah. Yakni pada orang susah. Kalau itu dapat dikekalkan sebagai akhlak kita, ertinya kita telah mengembalikan diri kepada sifat semulajadi yang suci, sebagaimana waktu kita mula-mula dilahirkan.

5. Amalan yang sangat digalakkan juga dalam bulan Ramadhan ialah membaca Al-Quran. Tapi membaca Al-Quran bukan hanya untuk mendapat pahala atau ambil berkat sahaja. Membaca Al-Quran ertinya meneliti hukum-hakam, mengambil iktibar dari cerita-cerita di dalamnya, memerhatikan tanzir (khabar-khabar yang menakutkan) serta tabsyir (khabar gembira) dari Allah SWT. Juga untuk membersihkan fikiran-fikiran kita daripada segala akidah dan ideology (isme-isme) karut ciptaan manusia. Contohnya faham-faham nasionalisme, sosialisme, komunisme, kapitalisme, feudalisme dan lain-lain lagi. Semua fahaman itu sudah menjadi fikiran dan jiwa kita. Sedangkan ajaran Al-Quran dan Sunnah masih asing pada kita.

Jadi, dengan banyak membaca Al Quran, kita dapat mengikis kekarutan fahaman-fahaman lama itu dari fikiran kita. Kita akan jadi orang yang kenal Allah, merasai kehebatan dan kebesaran-Nya, mahu menyembah-Nya. Dan lagi kita akan teringat-ingatkan Akhirat, yakni Syurga dan Neraka. Betapa indahnya Syurga dan betapa dahsyatnya Neraka akan terasa oleh kita. Tegasnya Al-Quran akan menambah iman kita. Ertinya, kita akan dibersihkan oleh Al-Quran, sebersih mula-mula kita dilahirkan ke dunia.

Begitulah secara ringkas proses mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang berlaku sepanjang bulan Ramadhan. Ianya berlalu mungkin secara langsung atau secara tidak langsung. Tapi hasilnya akan terasa oleh kita. Bertambah atau tidak iman kita, jinak atau tidak nafsu kita, akan bertambah baik atau tidak akhlak kita? Adakah bertambah cinta kita pada Allah dan rindu kita pada Akhirat? Bertambahkah pengorbanan dan perjuangan pada jalan Allah?
Bagaimana dengan sifat rendah diri, pemurah, berbaik sangka, zuhud, sabar, redha, berkasih sayang sesama mukmin dan lain-lain. Sudahkah jadi akhlak kita? Sekiranya jawabnya tidak. Itu tandanya kita tidak berpuasa dan tidak beribadah sepanjang Ramadhan itu. Lihat apa kata Rasulullah SAW : Terjemahannya:Berapa banyak orang yang berpuasa, tapi tidak mendapat apa-apa selain lapar dan dahaga.

Kalaulah puasa kita tidak menghilangkan keluh kesah, tamak haloba, sombong, hasad dengki, marah dan cinta dunia kita itu, ertinya yang kita dapat hanyalah lapar dan dahaga. Dan kalau begitu apa ertinya hari raya pada kita? Kemenangan apa yang hendak kita syukurkan pada hari raya? Sepatutnya pada hari raya kita menangis atas kekalahan kita berhadapan dengan nafsu kita itu. Tangisi juga ujian-ujian Allah yang kita gagal menghadapinya. Hari raya sebaik-baiknya hari bertaubat atas segala kebiadapan yang kita lakukan pada-Nya.

Kita mimpikan sebuah negara yang aman makmur dan mendapat keampunan dari Allah SWT. Dan kita berharap serta berjuang dan berkorban untuk maksud itu. Hingga kadang-kadang kita terfikir kitalah generasi yang boleh menegakkan kembali Islam di dunia sepertimana sejarah perjuangan salafussoleh. Sedangkan iman dan taqwa serta akhlak dan ibadah kita tidak seperti mereka.

Saiyidina Umar Al Khattab sewaktu dilantik menjadi khalifah pernah berjalan dengan sahabat-sahabatnya melalui tempat najis. Lama beliau berdiri di situ hingga sahabat-sahabat jadi gelisah dan bertanya, “Mengapa kita berhenti di sini Jawab Saiyidina Umar, “Inilah dunia yang kamu selalu berlumba-lumba mencapainya. Akhimya dia jadi najis yang kamu sangat membencinya.

Begitulah kepimpinan Sayidina Umar. Sewaktu memberi amanat pada tenteranya ketika menjatuhkan Rom dan Parsi baginda Amirul Mukminin berucap:Aku lebih takutkan dosa-dosa yang kamu lakukan, daripada takutkan musuh-musuh kamu, kerana kalau kamu berdosa, Allah tidak menolong kamu, dan membiarkan kamu pada musuh-musuh kamu itu.

Begitulah darjat taqwa yang menghiasi hati khalifah-khalifah Islam di zaman salafusoleh. Saidina Ali karamullah wajhah pula, Amirul Mukminin itu diceritakan oleh sahabat bernama Dhirar, bahawa dia selalu melihat Sayidina Ali menangis-nangis bagai orang kesusahan di tengah-tengah malam. Sambil berkata, “Wahai dunia, janganlah engkau tipu aku. Pergi jauhlah dariku. Jauh, jauh. Bekalku sangat sedikit sedangkan hidup di Akhirat itu kekal abadi.
Khalifah Umar Abdul Aziz menasihati gabenor-gabenor di daerah pemerintahannya dengan katanya, “Kekuasaan yang ada di tangan saudara-saudara telah memungkinkan kamu untuk menzalimi rakyat. Bila terasa di hati kamu untuk menzalimi seseorang, ingatlah segera betapa besarnya kekuasaan Allah atas diri saudara-saudara dalam daftar dosa. Ketahuilah pula bahawa Allah SWT membela orang yang teraniaya terhadap yang menzaliminya.
Saidina Abu Ubaidah Ibnu Jarrah, setelah Syria jatuh ke tangannya, hanya memiliki sebuah kediaman kecil yang ada di dalamnya hanya sehelai kain dan satu mangkuk. Saiyidina Umar menangis melihat kemiskinan ketua tenteranya itu, tapi apa jawab Abu Ubaidah. “Tuan menangis kerana saya menjual dunia untuk Akhirat? Seorang sahabat bernama Said bin Amir mendapat kiriman wang seribu dinar dari Saiyidina Umar, telah berteriak-teriak dan meminta perlindungan Allah. Isterinya bertanya kehairanan. Dijawabnya, “Dunia telah datang kepada saya.

Demikianlah taqwa para sahabat. Dalam keadaan inilah dunia menyerah diri pada mereka dan mereka menjadi tuan-tuan besar yang telah memberi keamanan pada dunia. Kemuncak bagi segala taqwa itu, cuba lihat doa Rasulullah SAW selaku pemimpin dunia yang agung itu, “Wahai Tuhan, kurniakan, aku dua mata yang selalu berlinang air mata, sebelum datang hari Akhirat, di mana mata mengalirkan darah dan gigi-gigi menjadi bara.

Doa dan hati beginilah yang menyebabkan Allah membantu mereka dan memberi kemenangan kepada mereka. Allah percaya dan sayang mereka. Maka Allah pun mengangkat mereka dari segala kaumnya. Apahal dengan kita? Cita-cita besar, angan-angan panjang tapi taqwa kita makin hari makin kurang. Amal ibadah kita dan perjuangan kita bukan menambah taqwa tapi menjahanamkan kita. Kita berjuang dengan kekuatan semangat dan nafsu, bukan dorongan taqwa. Sebab itu hasilnya bukan saja Islam belum tegak dalam negara dan masyarakat tapi diri sendiri pun makin ganas dan akhlak buruk sekali. Bagaimana Allah, boleh percaya untuk memberi kemenangan pada kita? Apa jaminan yang kita boleh mengamankan dunia?

Di seluruh dunia hari ini, keamanan sudah tidak wujud lagi. Maksiat jadi budaya hidup yang diperjuangkan. Perpaduan hancur lebur, hatta dalam rumahtangga pun tiada lagi kasih sayang yang hakiki lagi. Perang dan rusuhan makin bertambah dan menjadi-jadi. Krisis politik makin kusut dan meruncing. Penyelewengan dan penipuan dalam ekononi makin menjadi-jadi. Rusuhan tidak dapat dibendung lagi. Manusia benar-benar hidup dalam nafsi-nafsi. Tuhan tidak ada tempat dalam kehidupan. Al-Quran hanya untuk berhibur-hibur. Undang-undang-Nya dipertikaikan dan tidak diterima dalam perundangan hidup manusia abad ini.

Sungguh dunia hari ini dan kehidupan manusia-manusia sudah rosak sama sekali. Kalaulah hal ini dibiarkan terus-menerus berlaku, kita bimbang kita dan anak cucu kita akan terseret sama dalam kemurkaan Allah dunia dan Akhirat. Tapi apa daya usaha yang boleh kita lakukan untuk menghadapi masalah dunia ini? Kita masih terlalu lemah dalam apa hal sekalipun.

Mendengar pekikan-pekikan dari pejuang Islam di seluruh dunia, rasanya seolah-olah mudah saja dunia ini hendak diIslamkan kembali. Dan rasanya apa juga masalah dunia akan dapat diselesaikan tidak berapa lama lagi. Tapi bila dilihat pada realiti yang wujud, kita jadi kecewa bila melihat Islam yang ditempikkan itu hanya jadi angin yang tidak boleh dilihat. Usaha-usaha praktikal untuk mengkotakan cita-cita perjuangan yang ditempikkan itu belum dimulakan lagi. Lantaran itu, pejuang-pejuang Islam sendiri masih terlibat secara langsung dengan ekonomi riba, pendidikan sekular, politik demokrasi kotor, sosial lucah yang menghalalkan percampuran lelaki perempuan, hiburan-hiburan yang melalaikan, makanan syubhat, pakaian dan hiasan ala Yahudi, rumah bagai muzium dan anak isteri yang tidak dididik dengan Islam.

Dari hal yang kecil kepada yang besar, mereka belum menukarkannya dari jahiliah kepada Islam. Ramadhan yang sudah silih berganti datangnya dan ibadah-ibadah lain yang banyak dilakukan tidak pun mendorong mereka untuk berubah dari memperturutkan nafsu kepada mentaati Allah. Tegasnya ibadah mereka tidak mengembalikan mereka kepada fitrah murni yang taat kepada Allah.

Apa harapan untuk mereka mengubah dunia jahiliah ini kepada dunia Islam? Kita hairan dan masyarakat akan tertanya-tanya bila dan bagaimana peralihan hidup kepada Islam mahu dimulakan. Supaya kita dan mereka tidak lagi berada dalam suasana dan sistem mungkar yang diperjuangkan oleh musuh-musuh Islam. Supaya Islam bukan lagi untuk slogan dan tempikan tetapi untuk diamalkan dan dikerjakan. Supaya Islam dan mereka tidak lagi berada dalam suasana dan sistem mungkar yang diperjuangkan oleh musuh-musuh Islam. Supaya Islam bukan hanya di atas kertas, di pentas dan diseminarkan tapi untuk dibangunkan, dilaksanakan dalam kehidupan dan buktikan secara realiti. Supaya Allah dan Rasul serta orang mukmin dapat menilai. Supaya ternyata siapa yang benar-benar inginkan Islam pada orang ramai, untuk menarik perhatian masyarakat kepadanya.

Bercakap tentang Islam memang mudah. Tapi mengamalkan Islam itu susah. Orang yang bercakap tentang kebaikan belum tentu dapat melakukan kebaikan tersebut. Sebab untuk bercakap kita memerlukan ilmu tapi untuk beramal memerlukan iman dan taqwa. Sebab itu Sayidina Ali karamallahu wajhah pernah berkata. Orang alim yang tidak bertaqwa, kata-katanya tidak akan berbekas di hati manusia, seperti hujan yang turun di atas batu yang licin atau di atas telur burung kasawari.

Maknanya, cakap orang yang berilmu tapi tidak bertaqwa itu tidak boleh mengubah orang dari kurang baik kepada lebih baik. Tegasnya, orang tidak dapat hendak beramal dengan kata-katanya. Didengar sedap, tapi tidak dapat hendak beramal dengannya. Hanya berteori tapi tidak untuk dipraktikkan.

Mengapa orang yang tidak bertaqwa tidak dapat menegakkan Islam dengan kehidupan, dan tidak dapat membuatkan orang lain beramal dengan ajarannya? Ini berdasarkan firman Allah: Terjemahannya: Dan Allah itu pembela orang-orang yang bertaqwa. (Al- Jaathiyah :19)

Allah tidak kata Dia akan bela orang Islam. Maknanya Islam saja tapi tidak bertaqwa, tidak akan dibela atau ditolong oleh Allah. Bila Allah tidak mahu tolong, maka usaha atau perjuangan tidak akan sampai ke matlamatnya. Islam yang kita ingin, tidak ketemu jalan-jalan untuk melaksanakannya. Tinggallah cita-cita sebesar gunung tapi keupayaan terdampar di bumi.Oleh itu, perjuangan kita kalau mahu dibantu oleh Allah hendaklah diasas dan didorong oleh iman dan taqwa. Senjata perjuangan Islam yang terpenting ialah iman dan taqwa yang dimiliki oleh tiap-tiap peribadi pejuang-pejuang-Nya. Sebab itu program-program untuk mendapatkan iman dan taqwa mesti jadi program terpenting dalam perjuangan kita. Dan kalau ada aktiviti-aktiviti yang boleh melemahkan iman dan taqwa, itu mesti dihindarkan.Jemaah yang dianggotai oleh orang-orang bertaqwa, sekalipun kecil akan lebih bertenaga daripada jemaah yang besar tapi tidak membawa taqwa. Firman Allah: Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. (Al Baqarah: 249)

Jemaah yang ahlinya banyak melakukan dosa, tidak akan mendapat bantuan dari Allah. Sebab itu tugas penting kita sekarang ialah mendidik agar ahli-ahli kita jadi hamba yang bertaqwa, yang takut untuk melakukan dosa dan rindu pada Tuhannya. Bila tenaga-tenaga begitu sudah tersedia, waktu itu moga-moga Allah akan beri kepercayaan pada kita untuk menegakkan agama-Nya di bumi ini. Dengan taqwa, seseorang tidak akan merelakan diri dan keluarga serta masyarakatnya berada dalam suasana hidup jahiliah. Jemaah orang bertaqwa akan membebaskan diri dari sebarang sistem yang bertentangan dengan Islam. Mereka berjuang dan berkorban untuk menegakkan Islam dalam masyarakat mereka sekurang-kurangnya. Mereka bimbang kalau-kalau mereka mati dalam keadaan bergelumang dengan dosa-dosa lahir atau batin, fardhu ain atau fardhu kifayah yang belum selesai dan dosa-dosa dengan Allah atau dengan manusia.

Orang bertaqwa adalah orang-orang yang berkorban hidup matinya untuk Allah. Dalam perjuangan mereka tidak ada kerjasama dengan orang yang mungkar atau buat maksiat. Mereka merdeka dari bersandar dengan musuh Allah walau dalam apa keperluan. Mereka ada kekuatan sendiri yang disandarkan pada Allah SWT. Taqwa mereka menjadikan mereka rela berkorban dan berani menegakkan Islam dalam masyarakat di mana saja mereka berada. Allah berfirman:Terjemahannya: Maka barangsiapa yang bertaqwa dan berbuat kebajikan maka tiada perasaan takut pada mereka dan tidak pula berdukacita. (Al- A'raf: 35)

Tidak berlakunya semua itu dalam masyarakat kita hari ini, hatta dalam jemaah-jemaah Islam, ialah kerana kita belum bertaqwa. Oleh itu marilah kita mengusahakan jemaah orang-orang yang bertaqwa. Moga-moga Ramadhan ini memberi kekuatan asas pada kita untuk memperjuangkannya. Dan jadikanlah hari raya nanti sebagai hari pertama kita memulakan program-program yang boleh melahirkan hamba-hamba Allah yang bertaqwa.

APA MAKSUD TUHAN MENYURUH KITA BERPUASA SEBULAN SETIAP TAHUN?

Merujuk kepada Al-Quran, tujuan berpuasa adalah untuk bertaqwa. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183, ertinya; “ Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagai-mana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”

Berpuasa rupa-rupanya boleh mengakibatkan seseorang hamba Allah bertaqwa kepada Tuhannya yakni bila mana Ramadhan dilalui dengan tepat dan penuh penghayatan. Kalau bukan caranya, berpuasa di bulan Ramadhan hanya menghasilkan lapar, dahaga dan keletihan sahaja, sia-sia. Dalam setahun kita telah melalui berbagai-bagai cabaran hidup yang boleh merosakkan ketaqwaan kita kepada ALLAH.

Bila manusia tidak bertaqwa, mereka akan hilang wibawa dan kemanusiaan. Manusia menzalim, menindas, menipu, mementingkan diri, jatuh menjatuhkan , hasad dengki, pemarah, takabur, bakhil, berdendam dan lain-lain. Masyarakat manusia tidak lagi berkasih sayang, bekerjasama, bertolak ansur dan bertolong bantu. Sebaliknya akan berebut-rebut, berkrisis, bertelagah dan berperang. Peperangan antara suami isteri, anak dengan ibu bapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dengan pemimpin dan lain-lain. Manusia hilang kemanusiaan. Masyarakat manusia tidak berwatak manusia lagi! Bertukar kepada watak syaitan dan haiwan. Allah SWT yang Maha Adil lagi Bijaksana, yang menjadikan manusia , tahu di mana kekuatan dan kelemahannya, tahu bagaimana menguatkan yang lemah, menyuburkan yang kuat, tahu punca kekuatan dan kelemahan, telah memilih sebulan Ramadhan untuk jadi ubat kepada setahun penyakit. Berpuasa dan ibadah-ibadah tambahan Ramadhan itu mampu menyelesaikan masalah-masalah selama setahun. Umpama kereta yang letih dan lemah setelah setahun digunakan , overhaul sebulan cukup untuk sihat semula. Ya, Ramadhan datang untuk overhaul manusia supaya dapatkan kemanusiaan semula. Rugilah orang-orang yang gagal menjadikan ibadah-ibadah Ramadhan untuk membaik pulih kemanusiaan mereka. Macam ruginya orang yang diberi kereta tapi tidak pandai mengguna atau tersalah guna.

Bagaimana Ramadhan Overhaul Hati Manusia?

Terdapat pakej ibadah yang cukup hebat dan berkesan, kuat menguat satu sama lain, supaya manusia dibaik pulihkan sepanjang Ramadhan . Allahlah yang punya pakej ini Maha pakar dalam merawat jiwa, fikiran dan fizikal manusia supaya kembali suci sesuci fitrah semulajadinya.

Pakej itu ialah ibadah puasa, terawih, baca Quran, zikir, tasbih, paling asas adalah mujahadah untuk melawan nafsu. Seseorang yang sanggup melakukan keseluruhan pakej ibadah ini dengan serius dan penghayatan, sungguh akan memperolehi satu kekuatan roh, mental dan fizikal untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Membawa bersamanya segala sifat-sifat baik seorang manusia seperti merendah diri, pemurah, berkasih-sayang terutama dengan orang miskin dan susah, tawakkal, sabar, tenang, adil, berbaik sangka, sanggup meminta maaf dan memberi maaf, bertolak ansur, jujur, mementingkan orang lain dan lain-lain. Kalau ada manusia begini, di muka bumi ini dan tentunya ada, ketahuilah bahawa pada merekalah Allah akan pusakakan bumi ini untuk ditadbir. Sebab Allah berjanji untuk menutup bumi ini dengan keadilan oleh orang-orang yang mereka itu cintakan Allah dan Allah juga cintakan mereka.

Bagaimana Ibadah Memproses Ketaqwaan Manusia

Allah jadikan manusia makhluk yang wajib berusaha dan berikhtiar untuk berjaya dalam apa juga bidang. Kejayaan tidak jadi sendiri kepada manusia. Manusia perlu bertarung, berjuang untuk kejayaan besar mereka. Nelayan mengharungi gelombang laut, petani melawan panas terik, ibu bertarung dengan kesusahan melahirkan anak, bapa tercabar dalam melakukan tanggung jawab pada keluarga, guru berhadapan dengan ragam murid, pemimpin paling teruk berhadapan dengan 1001 jenis kesusahan dalam kepimpinan.

Untuk mengalahkan nafsu dan syaitan, Allah mewajibkan peperangan yang paling besar dan dahsyat yang tak dapat dilihat oleh mata kerana ia bersifat rohani dan maknawi. Hanya orang yang mampu melepasi halangan-halangan nafsu sahaja yang layak mendapatkan taqwa. Ketaqwaan adalah sijil atau ukuran paling mulia untuk seseorang manusia menjadi sesempurna manusia . Tanpa taqwa, PhD, harta, pangkat tidak menjamin manusia dapat dikembalikan kepada kemuliaan yakni kemanusiaannya. Orang kaya, berpangkat dan berijazah tapi yang bertuhankan hawa nafsu akan jadi sejahat-jahat manusia sedangkan dengan taqwa, orang miskin pun jadi mulia apa lagi kalau orang kaya yang bertaqwa!

Sebab itulah saya katakan ibadah paling asas dalam pakej Ramadhan ialah mujahadah terhadap nafsu. Yakni usaha-usaha memaksa diri sendiri untuk melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Mujahadah ialah sanggup menyiksa diri sendiri dalam usaha untuk menunaikan perintah-perintah Allah kerana kebaikan yang diperintahkan bertentangan dengan kehendak nafsu liar dalam diri. Contoh, untuk berkasih sayang seperti yang Allah Taala perintahkan, seseorang sanggup menelan marahnya pada seseorang dengan penuh sabar. Tahan marah dan sabar itu sungguh menyiksakan . Orang-orang yang tahu selok beloknya sahaja yang boleh melakukan dengan pertolongan Allah. Mujahadah memang menjemukan, nafsu benci dan meletihkan . Siapa sanggup tersiksa atas cita-citanya? Hanyalah orang yang berjiwa besar. Sebab letih fizikal boleh rehat, tapi perang dengan nafsu tak boleh rehat-rehat. Kalau rehat nafsu lagi manja dan mengada-ngada. Perang yang tak rehat-rehat inilah dikatakan perang paling berat dan dahsyat.
Terdapat tiga pemangkin yang Allah sediakan untuk mendorong mujahadah ini di bulan Ramadhan iaitu:

1. Puasa yang dihayati
2. Sembahyang yang khusyuk
3. Baca Quran yang dijiwai

Puasa yang dihayati akan menjadi pendorong/pemangkin mujahadah melawan hawa nafsu kerana puasa itu akan menimbulkan keinsafan, kesedaran, rasa timbang rasa, rasa lemah dan rasa hamba seorang hamba Allah. Orang yang berpuasa dapat menangisi golongan susah dan miskin. Orang miskin terus lapar tanpa tahu pasti bila waktu berbuka. Buruh-buruh terus letih sampai bila-bila tanpa tahu bila sebenarnya mereka boleh rehat dan holiday. Bilamana rasa-rasa itu menguasai diri seseorang pasti akan membunuh nafsu-nafsu yang suka kepada kejahatan dan melanggar perintah Tuhan seperti rasa tamak dan sombong orang kaya terhadap orang miskin.

Sembahyang yang khusyuk adalah rahsia kemenangan. Kemenangan seseorang terhadap musuh utama dalam hidupnya iaitu nafsu dan syaitan. Sembahyang itu adalah sebesar-besar atau seagung-agung projek yang menjamin kekayaan manusia paling utama. Yakni sembahyang dapat membina dan menebalkan rasa-rasa yang amat diperlukan oleh seseorang hamba yakni rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Rasa yang mampu menghalau dan memusnahkan nafsu yang jahat yang menjadikan manusia paling berguna pada manusia yang lain. Kalau bukan sembahyang, apakah langkah lain untuk manusia memperolehi modal-modal hidup rohaniah yang amat diperlukan itu?

Baca Quran yang dijiwai sesungguhnya akan menemukan khabar gembira, ada amaran, suri teladan, kesedaran dan keinsafan . Pemikiran yang agung, global dan praktikal hanya dan hanya oleh Al Quran. Membacanya di bulan Ramadhan, ertinya membangunkan suatu pemangkin yang cukup kuat untuk mengalahkan nafsu dan pengaruh syaitan dalam diri manusia. Bila nafsu kehaiwanan dapat dikalahkan, manusia akan mendapatkan kemanusiaannya semula. Masyarakat kita akan berwibawa semula! Ibadah tambahan lainnya akan jadi ringan untuk dilaksanakan dan akan membuahkan akhlak yang luar biasa. Allah SWT memerintahkan puasa Ramadhan adalah semata-mata untuk bertaqwa kepadaNya. Yakni dengan melakukan overhaul dan baik pulih kepada jiwa, fikiran dan fizikal.

BAGAIMANA MEMBAIKI DIRI DI BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadan adalah satu bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran.
Bulan yang diturunkan rahmat dan berkat.
Bulan diampunkan dosa.
Bulan yang kebaikannya diganda-gandakan Tuhan.
Bulan yang didalamnya berlaku Lailatul Qadar.

Yang mana siapa yang dapat beribadah tepat pada malam Lailatul Qadar seolah-olah dipanjangkan umur. Seolah-olah mereka pernah beribadah selama lebih 1000 bulan, yakni lebih dari 83 tahun. Inilah antara Rahmat Tuhan kepada orang yang bertaqwa atau yang bercita-cita menjadi orang bertaqwa. Ini satu anugerah Tuhan.

Ini menunjukkan bulan Ramadan adalah raja segala bulan. Pada bulan ini, Tuhan menyuruh kita berpuasa di siang hari dan beribadah di waktu malamnya. Oleh kerana Tuhan hendak memberi pahala yang besar, terutama yang mendapatkan Lailatul Qadar, ini mesti ada rahsia dari Tuhan, mengapa Tuhan pilih bulan Ramadan, mengapa begitu besar pahalanya di sisi Tuhan. Ini tak berlaku di bulan-bulan lain. Lebih-lebih lagi dosa-dosa kita semua diampunkan.

Kejadian Manusia
Kalau kita hendak bercerita mengenai hal ini, ia ada hubungan dengan kejadian manusia itu sendiri. Mungkin kebanyakkan orang tidak mengetahui yang manusia itu kejadiannya terdiri daripada 4 unsur. Iaitu:-
1. jasad lahiriah
2. akal
3. roh
4. nafsu.

* Peranan jasad hanya bertindak, berbuat, melaksana.
* Peranan akal menerima ilmu, menerima maklumat. Samada maklumat itu betul atau tidak, memberi manfaat atau tidak, dia hanya mengumpulkan saja maklumat itu.
* Peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Saya ulang lagi, peranan nafsu merangsang dan berkehendak. Kehendak samada yang baik atau yang buruk, halal atau haram, positif ataupun negatif..
* Peranan hati hanya semata-mata merasa. Rasa-rasa itulah yang datang dari akal, dari fizikal, dan yang datang dari tindakan nafsu. Hati atau Roh ini umpama raja di dalam diri manusia.

Jadi kalau nafsu, akal dan fizikal baik, dia akan membangunkan jiwa2 yang baik.
Kalau nafsu, akal dan jasad jahat maka roh atau hati yang merupakan raja dalam diri dia akan jahat,
Kalau roh baik, maka baiklah hati.


Ini kita dapat lihat atau boleh kita misalkan raja sebuah Negara. Kita lihat kadang-kadang raja itu jadi jahat oleh orang dikiri dan kanannya, iaitu pemimpin-pemimpin yang rosak. Tetapi kadang-kadang raja itu menjadi baik, juga akibat orang-orang di kiri kanannya, macam penasihat yang baik, maka jadi baiklah raja itu.

Jadi kejadian manusia ini Tuhan yang menjadikannya.Tuhan Maha Mengetahui bagaimana manusia itu boleh menjadi baik dan bagaimana menjadi jahat, sebab itu Tuhan dengan kuasanya, kalau manusia itu jahat bagaimana Tuhan mengubatnya, kalau dia sudah baik bagaimana hendak dijaga supaya dia tidak menjadi jahat semula.

Manusia yang ada 4 unsur tadi di waktu alam roh, sebelum dilahirkan tubuh kasarnya, dia sudah kenal Tuhan, taat dan takutkan Tuhan dan dia sangat baik. Tetapi apabila roh sudah masuk dalam sarangnya [jasad], lalu dilahirkan bersama sarangnya, maka tiga unsur yang lain tadi yang boleh mempengaruhi hatinya, sekiranya baik, maka roh manusia yang jadi raja diri itupun menjadi baik.

Pada manusia itu sebenarnya ada unsur malaikat, syaitan, haiwan dan manusia. Kalau begitu, berdasarkan unsur-unsur tersebut,maka manusia boleh menjadi malaikat yang berupa manusia, atau binatang atau syaitan yang berupa manusia.. Bila manusia kekal sebagai manusia maka dia normal.

Tidak boleh dikatakan manusia malaikat atau manusia haiwan, tidak boleh juga dikatakan manusia syaitan. Manusia normal ini biasa sahaja.

Tuhan lahirkan manusia itu untuk dijadikan manusia malaikat, yang luarannya berupa manusia, rohnya pula bersifat malaikat, baru boleh menjadi orang bertaqwa.

Kuliah ini terasa susah sikit jadi kena berhati-hati yang mendengar lagi susah. Kena ambil perhatian kalau tidak dia mudah mengantuk dan bosan. Tajuk ini penting.

Hakikatnya, Tuhan teramat tahu kelemahan manusia yang mana dalam satu tahun ada 12 bulan manusia hidup, bergerak, dengan aktiviti, berjuang, berjihad, bekerja, berfikir. Selalunya majorit akal dan nafsulah yang mempengaruhi hatinya.i Menjadikan roh manusia itu rosak. Jika sudah sedia rosak bertambah rosak. Kalau dia sudah baik, roh yang asal kejadian bersifat malaikat, turun pada martabat manusia, iaitu normal. Jarang yang sudah rosak bertambah baik. Yang baik ertinya sewaktu bersih itu digilap sampai bercahaya. Yang sudah bersedia bercahaya, bertambah lagi pancaran cahayanya. Perkara ini jarang berlaku, ia berlaku pada golongan sedikit.

Sebab itu Tuhan ingatkan dalam Quran, “Hanya sedikit hamba-hambaKu yang bersyukur”.Maka disinilah dengan Rahmat dan kasih sayang Tuhan, Tuhan tentukan pada orang Islam, 12 bulan itu diadakan satu bulan untuk baiki diri dalam setahun. Diri yang sudah rosak sepanjang 11 bulan, dirosakkan oleh nafsu terutamanya. Yang kedua dirosakkan oleh cara berfikir kerana menerima maklumat2 yang salah dan dirosakkan oleh fizikal, arahan nafsu dan akal.

Maka dengan kasih sayang Tuhan dijadikan sebulan dalam setahun itu supaya manusia itu tidaklah rosak selama-lamanya. Sebulan itu kita diajar bagaimana hendak membaiki diri. Dengan keadilan dan kasih sayang Tuhan daripada 12 bulan itu, sebulan dipilih untuk dipost mortem atau overhaul. Ibarat kereta yang sudah 11 bulan digunakan, lebih-lebih lagi tidak berhati-hati, dilanyak sesuka hati, maka sebulan tu waktu overhaul. Masuk workshop lalu enjin, wire, body, dibetulkan semula.Setelah di overhaul, kereta pulih, enjin baik, body baik, dipandu pun selesa.

Mentadbir dunia
Begitulah manusia, Tuhan tahu, kebanyakan manusia, dalam masa 11 bulan itu hati mereka mudah rosak Dirosakkan oleh nafsu, akal dan fizikal. Bagaimana nafsu merosakkan? Tuhan hantar kita ke dunia, disuruhNya kita mengambil dunia, mentadbir dunia, untuk diagih2kan pada orang lain, untuk berkhidmat pada orang lain. Maka tercetuslah kasih sayang, pembelaan, perkhidmatan. Orang yang malang dapat dibela, orang yang miskin dapat dipertanggung jawabkan. Akhirnya lahir kasih sayang antara satu sama lain. Bukannya kita didatangkan ke dunia mengambil dunia dan untuk cintakan dunia! Saya ulang lagi, Tuhan datangkan manusia ke dunia, untuk mengambil dunia, menggunakan dunia untuk berkhidmat, dan menolong orang. Supaya dengan itu lahir kasih sayang. Supaya tidak berlaku jurang antara orang kaya dan miskin, antara yang di atas dan yang di bawah, antara pemimpin dengan rakyat. Tuhan mahu kita ambil dunia untuk berkhidmat, untuk mendapat pahala. Untuk dapat melahirkan kasih sayang, bukan untuk dicintai. Yang wajib dicintai hanya satu yaitu Allah. Jadi konsep berhadapan dengan dunia kenalah dibetulkan. Sebab selama ini kita sudah salah faham. Ada orang ambil dunia bukannya dengan dunia itu dapat melahirkan kasih sayang dengan orang lain, sebab dia sudah jatuh hati dengan dunia.

Bila jatuh hati apa yang terjadi? Ini kerja nafsulah. Bila sudah jatuh hati, datanglah rangsangan, datanglah berkehendak. Itulah kerja nafsu. Yang dimaksudkan dunia itu bermacam-macam. Yang besarnya harta, jawatan, kekuasaan, pangkat, darjat, pengikut yang banyak, nama, glamour. Ini dunia.

Jadi bila kita biarkan nafsu berperanan tanpa dididik, tanpa diikat dengan sifat takutkan Tuhan, cintakan Tuhan, akhirnya Tuhan tidak dicintai atau ditakuti, lalu manusia itu akan cinta sungguh dengan dunianya.

Bila dunia dicintai apa yang akan terjadi dengan kehidupan terutama dengan perasaan?. Bila tidak dapat hati menjadi susah, bila mahu mendapatkannya, berusaha bertungkus-lumus pagi petang.

Kadang-kadang sampai terlupa uruskan diri sendiri, betapalah hal-hal lain, hal syariat, kerana yang dicinta belum dapat, yang dikasihi belum dapat.. Bertungkus-lumus untuk mendapatkannya sampai tidak kira halal dan haram.. Bila sudah didapati, berubah pula jadi negatif. Datang perasan sayang, tamak, bakhil yang membuatkan tidak terfikir lagi bagai mana mahu berkorban dan berjuang di jalan Allah untuk menegakkan kalimatullah.

Kemudian bila tidak dapat juga datang pula penyakit lain. Hasad dengki dengan orang lain yang mendapatnya.. Mungkin boleh sampai bertindak ke atas orang itu, seperti dia memfitnah, dijatuhkan maruahnya atau sehingga sanggup pula membunuh.

Side effect yang lain, sifat-sifat itu bila diketahui oleh orang lain dalam pergaulan, orang lain pun benci, marah, tidak suka, berhasad dengki. Akhirnya unsur-unsur perbalahan akan wujud. Unsur-unsur pergaduhan pun terwujud. Kalau tidak dibendung lama-lama membawa kepada peperangan. Ini semua berpunca daripada cinta dunia.

Sebab itu Rasulullah SAW bersabda .” Hubbuddunya ra’su kulli khatiah…”

Rasulullah SAW bersabda, cinta dunia ibu segala kesalahan.

Rasulullah tidak sebut ibu segala kejahatan. Khatiah itu dalam bahasa Arab, jika diterjemah pada lafaz maknanya kesalahan, bukan kejahatan. Ini ada maksud disebaliknya. Ada orang menterjemahkan - ibu segala kejahatan- sebenarnya tidak begitu. Khatiah itu maknanya kesalahan. Ertinya buat salah dulu, tersalah dulu, tersilap dulu baru datang kejahatan. Dalam berbagai-bagai bentuk.

Pembersihan Roh
Rasulullah SAW juga berkata, cintakan Tuhan itu ibu segala kebaikan. Tetapi kalau dunia dicintai maka berlakulah sebaliknya iaitu ibu segala kesalahan. Bila sudah salah, salah meletakkan cinta dunia tadi, maka akan berbuah segala kejahatan yang berbagai-bagai. Jadi kalau nafsu itu jahat, sudah cintakan dunia maka dia akan memberikan kesan kepada roh. Saya sudah kata roh itu tugasnya hanya berperasaan. Kalau akal, nafsu dan fizikal sudah jahat, yang jahat itulah yang menjadi penasihat pada roh. Apa akan berlaku pada perasaan? Bukannya akan lahir perasaan yang positif. Berkasih sayang, takut, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, mengutamakan orang lain, tidak berlaku begitu. Akan datang sakit hati, sombong, megah, rasa berdendam, rasa tidak mahu maafkan orang, tidak mahu meminta maaf.
“Kalau minta maaf jatuh wibawa aku, kalau aku bagi maaf pun jatuh wibawa.”

Timbul perasaan-perasaan negatif bukan positif. Sebab itu yang akan dapat nikmat nanti dan yang akan kena azab ialah roh, roh yang kekal. Bukannya nafsu, fizikal dan akal. Jadi Tuhan tahu hal ini, kesan daripada tidak terdidiknya akal, nafsu dan fizikal ini akan mempengaruhi roh. Roh yang kena azab. Maka sebab itu dengan kasih sayang Tuhan, Tuhan bagi orang Islam bulan Ramadhan dengan tujuan membaiki 4 unsur (4 anasir). iaitu dapat betulkan semula rohnya, nafsunya, akal dan fizikalnya.

Setengah orang itu bila boleh membaiki diri di dalam bulan Ramadan dia akan mendapat kekuatan sampai ke Ramadhan yang akan datang. Bila datang Ramadhan akan datang, roh yang sudah bersih itu tinggal digilap sahaja supaya bercahaya. Roh yang tidak hitam tetapi ada habuk-habuk, ringanlah sedikit, bila datang Ramadan akan datang maka kalau dia beribadah, habuk itu terbuang,tidaklah begitu teruk membersihkannya. Roh yang bersih, itu orang soleh. Kalau roh bercahaya itu orang bertaqwa, muqarrabin. Orang soleh dalam golongan Ashabul Yamin, .Mereka akan banyak dihisab tetapi tidak dimasukkan ke dalam neraka, cuma akan susah dihisab. Tetapi kalau roh itu bercahaya, datangnya Ramadhan lagi tambah kilauan cahayanya, darjatnya semakin naik. Bagi yang belum sampai ke peringkat wali, bila datang Ramadhan lalu Rohnya semakin bersih bercahaya lagi, jadilah wali, InsyaAllah – orang begini termasuk golongan Muqarabin yang sedikit itu. Di akhirat dia akan termasuk golongan bighairi hisab, tidak payah dihisab. Yang tadi – Ashabul Yamin, kena hisab. Orang kena hisab ni macam kita pergi ke luar Negara, imigresen dan kastam periksa. Jika tiada masalah terlepaslah tapi mungkin mengambil tempoh 3 jam. Di dunia 3 jam pun sudah susah. Di sana kalau ditahan, bukan 3 jam mungkin 50 tahun, mungkin 100 tahun. Cuma tidak kena azab sahaja.

Jadi Tuhan tahu dimana kekuatan dan kelemahan manusia, maka Tuhan suruh kita baiki di bulan Ramadhan. Sebab itu kalau orang boleh pulihkan semula rohnya yang hitam jadi kelabu, yang kelabu dibersihkan habuknya, yang bersih dicahayakan, kemudian bersih dan bertambah darjat kilauan cahayanya, Tuhan bagi pahala berganda-ganda, diampunkan dosanya.

Bila mendapat Lailatul Qadar, Tuhan bagi seolah-olah dia beribadah lebih 83 tahun. Kalau dia dapat 3 kali Ramadan Lailatul Qadar, dan dia berjaya memutihkan dan mencahayakan rohnya ertinya dia hidup beberapa ratus tahun!

Lailatul Qadr
Lailatul Qadar ini, umat-umat sebelum Nabi Muhammad SAW tidak mendapatnya. Tetapi dengan keadilan Tuhan, masing2 dapat menjadi baik, sama2 mendapat kemudahan.Orang zaman dahulu panjang umur, kita pendek umur, tapi boleh mendapat pahala yang sama. Sebab itu umat dahulu ada yang berumur 200 thn, 400 thn. Jika 100 thn dahulu masih dianggap pemuda. Mana yang bernasib baik, sampai 500 tahun, Pada zaman kita sekarang, 20 thn itu muda remaja. Tetapi umat dahulu,mereka tidak mendapat Lailatul Qadar, tidak dapat Ramadan. Rasulullah SAW dipendekkan umur umatnya tapi dilebihkan pahala. Itulah kebesaran RasulullahSAW, dengan kerananya kita mendapat rahmat.

Jadi sebab itu saya ulang lagi, Tuhan tahu kita ini dipendekkan umur tetapi dikurniakan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mana hendak mendapatkan Lailatul Qadar tu bukanlah mudah dan satu kebiasaan. Ibadah puasa yang dibuat itu mestilah sampai dapat memberi cahaya pada hati, paling tidakpun dapat membersihkan hati, hingga menjadi orang soleh yakni golongan Ashabul Yamin. Kalau hati itu sampai bercahaya-cahaya, itu tersangat hebat!. Jadi mari kita lihat, munasabahkah hendak mendapat pahala berganda-ganda, menasabahkah hendak mendapat pahala lebih 1000 bulan, apakah sebabnya yang sampai begitu mujarab, ini jarang dikaji orang.

Tiga Pakej Hadiah Ramadan
Bulan Ramadhan dengan peranannya untuk overhaul manusia ini, mengandungi 3 pakej [package] yang besar yang boleh menjadi ubat untuk membaiki manusia. Yang lain-lain selain 3 pakej itu kalau adapun, sebagai sampingan saja [eg bersedekah]. Tiga pakej yang besar ini kalau kita fahami dan hayati, InsyaAllah kita boleh membaiki diri, memang logik Tuhan akan mengampunkan, memang logik Tuhan menggandakan pahalanya. Memang munasabah Allah hendak kurniakan pahala berganda sampai seolah-olah 83 tahun. Ada 3 pakej yang sangat besar. Kalau ada ilmu ini dan kita hayati betul-betul boleh menjadi ubat yang sangat mujarab

PERTAMA :Berpuasa di siang hari. Apa takrif puasa? Takrif puasa pada saya ada dua, dengan erti kata lain, puasa ada 2 definisi. Yang pertama mempertahankan syarat rukun jangan sampai terbatal, ini ada takrifnya yang tersendiri. Apa takrifnya? Wajib dijaga puasa itu jangan sampai terbatal syarat rukunnya. Setakat ini, puasa itu ibarat membangunkan rumah, sudah ada rangkanya tetapi tidak lengkap. Takrifnya: menahan diri di waktu siang daripada makan dan minum serta tidak bersama dengan isteri. Puasa takrif ini setakat tidak membatalkan syarat rukun sahaja. Pahala belum tentu dapat lagi – hanya mendapat lapar dan dahaga, keampunan belum tentu dikurniakan lagi, inikan lagi Rahmat. Kalau setiap kali Ramadan, dia beribadah di malam Lailatul Qadar pun tidak tentu dia memperoleh pahala 1000 bulan sebab dia hanya dapat mempertahankan syarat yang rukun saja. Itu takrif yang pertama iaitu tidak makan, tidak minum dan tidak bersetubuh dengan isteri di siang hari. Inilah puasa kebanyakan manusia. Puasa begini setakat merehatkan dan menyihatkan fizikalnya sahaja. Definisi yang kedua, ada tambahan dalam ROH PUASA , Itu, ertinya menahan diri daripada perasaan-perasaan negatif, akalnya turut berpuasa iaitu dia tidak berfikir perkara-perkara yang dilarang Tuhan. Dia hanya berfikir mengenai ilmu yang mendatangkan pahala. Begitu juga dia menahan nafsunya daripada kehendak-kehendak yang Tuhan tidak suka iaitu mengambil dunia kerana cintakan dunia, Itu takrif kedua. Saya ulang lagi takrif kedua puasa itu iaitu menahan hati dari perasaan negatif seperti marah, hasad dengki, cinta dunia, tamak, haloba, dendam, sakit hati dan lain-lain. Kehendak nafsu itu bukan bertujuan untuk mencintai dunia tetapi dia mengambil dunia itu untuk dapat diagih-agihkankan, untuk berkhidmat, untuk dikorbankan pada Tuhan. Dari situ lahirlah kasih sayang, perpaduan, lahirlah pembelaan. Ini takrif yang kedua. Puasa takrif kedua inilah kalau dibuat boleh mendatangkan rahmat, berkat dan pahala Lailatul Qadar yang menyamai seribu bulan. Pada peringkat ini takrif pertama masih dipenuhi juga iaitu tidak membatalkan syarat rukun.

Apa kata Rasulullah? Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga.”

Jadi bukan semua yang berpuasa itu pada menempuh Lailatul Qadar, dia mendapat rahmat. Bukan semuanya mendapat berkat. Bukan semuanya mendapat keistimewaan. Kalau berpuasa sekadar setakat menjaga syarat rukun sahaja, hanya mendapat lapar dan dahaga. Jangan-jangan, selepas Ramadahan sifat-sifat negatif lagi subur. Setengah orang bulan Ramadan umpama bulan pesta makanan dan minuman serta pesta pakaian. Yang selama ini belum dibeli dia beli. Sudah ada 3 pakaian baru, beli lagi 2. Sudah ada 5, beli lagi 2-3 helai. Itu baru pakej yang pertama. Kalau benar-benar berpuasa mengikut takrif 1 dan 2, memang boleh terbunuh mazmumah, roh jadi bercahaya. Kalau tidak bercahaya pun sudah bersih. Itu sudah cukup. Tapi itu baru satu pil ditelan, sedangkan ada dua lagi.

KEDUA : Kalau ditambah dua pil lagi roh manusia boleh meningkat ke taraf seperti malaikat iaitu dengan BERSEMBAHYANG. Sebab itu Tuhan suruh melebihkan sembahyang di bulan puasa iaitu dengan solat witir dan tarawih. Tentang sembahyang saya tidak perlu jelaskan, ingatkah balik kuliah sembahyang yang membina peribadi agung, boleh menjadikan bangsa agung. Kuliah Mikraj Solat yang mana di dalam sembahyang itu ada bermacam-macam ubat. Kalau dua takrif puasa tadi dihayati bersungguh-sungguh disertakan sembahyang fardhu sahaja, tidak tarawikh pun tidak mengapa, tidak selawat, wirid atau membaca AlQuran dengan syarat puasa itu betul-betul menjadi ubat.

Apa erti solat tarawih dan membaca AlQuran kalau puasa kita di siang hari tidak bernilai. Tetapi oleh kerana kita tidak tahu, kita tiada ilmu, Tuhan bagi tahu fungsi puasa…. itulah yang saya maksudkan.

Kita tidak tahu puasa kita menjadi ubat atau tidak, kenalah kita solat tarawih, baca AlQuran untuk menampung kelemahan puasa kita. Jadi, ubat atau pil kedua dalam pakej ini ialah sembahyang, tidak payah disyarahkan lagi. Semua sudah dengar.

KETIGA :Pil ke tiga ialah membaca Al Quran.Baca Quran itu kalau boleh dikhatamkan. Kalau tidak khatam tidak mengapa, seberapa yang boleh dibaca hayati betul-betul. Masya Allah AlQuran itu, Tuhan sendiri memberitahu di dalam Quran, kalau dibaca ayat-ayat Tuhan itu, menggeletarkan hati, badan boleh menggeletar. Tuhan sendiri beritahu dalam AlQuran, bila orang membaca AlQuran dan mengambil ingatan tentang cerita2nya, ia boleh memusnahkan nafsu yang jahat. Hati yang keras jadi lembut, perasaan yang jahat boleh tukar menjadi pada perasaan yang positif.Kalau kita hayati AlQuran, dalamnya ada tabsyir (khabar gembira) seperti orang yang baik akan dikurniakan syurga dan diampunkan. Yang penting kena difahami dan dihayati. Bukan perlu banyak, satu juz pun tidak mengapa kalau kita hayati.

Di dalam AlQuran ada tanzir (khabar menakutkan); itu sangat memberi kesan kepada roh. Sangat membunuh nafsu jahat, sangat membangunkan akal. Begitu jua ada cerita orang soleh dan orang jahat untuk dijadikan pengajaran. Yang baik jadi teladan, yang jahat jadi sempadan.

Ada bermacam-macam ilmu lagi yang sangat mempengaruhi akal kita, yang akhirnya mempengaruhi hati. Jadi kalau Quran itu benar-benar dibaca boleh menjadi ubat, yang menghidupkan akal, selepas tu dituju pada nafsu, nafsu akan menjadi baik hingga memberi kesan kepada roh. Maka roh pun perasaannya positif. Hatinya menjadi baik. Paling tidak bersih. Tapi kalau orang bersungguh-sungguh lagi bercahaya rohnya.

Kalau tiga pil ini dihayati menasabahlah dapat pahala yang besar itu.

Jikalau hanya 3 perkara sahaja yang dapat ditahan, tidak makan, tidak minum, tidak bersama isteri, tetapi yang lain tidak berpuasa, nafsu tidak berpuasa, akal tidak berpuasa, RasulullahSAW kata kita hanya mendapat lapar dan dahaga, walaupun dia menempuh Lailatul Qadar. Tetapi Rahmat tidak dapat, keampunan dan berkat tidak dapat, pahala yang berganda-ganda tidak dapat, doa yang makbul pun tidak dapat.

Macam orang menunaikan haji, bila dapat haji mabrur itu seolah2 orang itu baru dilahirkan dari perut ibu, ertinya habis bersih dosanya. Tetapi mudah kah? Kalau kita baca di dalam kitab ada orang mendapat alamat, ada orang dimimpikan seribu tahun dulu, dalam 70 000 yang membuat ibadah haji, yang diterima hanya 70 orang. Itu waktu dulu, kalau pada zaman sekarang bolehkah mendapat pahala haji mabrur bila menyiku orang, melompat orang, berkasar dengan jemaah lain?

Begitulah kalau kita mendengar cerita Ramadan, seolah-olah selepas Ramadan manusia baru lahir dari perut ibunya, bersih. Itu bukan mudah, kalau ikut takrif pertama sahaja hanya mendapat lapar dan dahaga saja, serta kepenatan.

Tapi kalau masuk takrif kedua, setidak2nya itu puasa orang soleh, di atas daripada itu, puasa orang muqarabin, di bawahnya itu puasa orang fasik.

Fasik itu terbagi dua, ada yang hitam kelabu rohnya, ada yang hitam pekat!

Jadi itulah dia sebab mengapa Tuhan memerintahkan kita berpuasa, ada rahsia disebalik kejadian manusia itu sendiri.
Tuhan mahu kita menjadi manusia malaikat.
Sebab Tuhan jadikan manusia bertujuan bukan kekal di atas kemanusiannya tetapi ‘liya’budun’ ada dua tugas. ….khalifah itu mentalnya. Untuk dunia diagih-agihkankan, mengambil dunia untuk dikorbankan, untuk berkhidmat bukan untuk dicintai. Cinta dunia itulah menjadikan kita berpecah belah samada disedari atau tidak.

Begitulah peranan ibadah. Mengapa Tuhan menyiapkan Ramadan untuk umat Islam? Seolah-olah tiada yang meningkat saya lihat. Yang meningkat pesta pakaian, pesta makan minum.Takrif kedua puasa, jarang orang menghayati hikmah dan hakikat sebenarnya. Sebab itu umat Islam susah hendak disatukan, SUSAH.

Kadang-kadang bulan Ramadan itulah menyuburkan nafsu jahatnya, jadi terbalik. Overhaul kereta terus rosak. Ada kereta dihantar ke workshop untuk over haul terus rosak. Sebelum masuk boleh dipandu, boleh jalan. Bila sudah masuk, terus jammed.

Ada orang yang bersusah payah makan tiga pil itu dalam bulan Ramadan sebab itu Allah bagi pahala yang besar.

Friday, August 1, 2008

EXPO MAKANAN HALAL DAN KARNIVAL EKONOMI ISLAM DI TANJONG KARANG, SELANGOR

EXPO MAKANAN HALAL DAN KARNIVAL EKONOMI ISLAM anjuran Global Ikhwan negeri Selangor bertemakan "Menjana Diri Merdeka" sempena bulan Kemerdekaan 2008 akan diadakan di Padang Astaka berhampiran Dewan Dato' Hormat, Tanjong Karang, Selangor dari 1 hingga 3 haribulan Ogos 2008. Selama 3 hari itu, program akan bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam.

Expo tersebut akan mempamerkan pelbagai jenis barang makanan buatan umat Islam yang halal dan produk-produk menjana ekonomi umat Islam selain makanan halal. Antara barang-barang yang akan dipamer dan dijual adalah produk terbaru dari Global Ikhwan iaitu Roti Ikhwan, Mee Basah, Air Alkali, Sos, Kicap dan produk-produk penerbitan seperti Komik Abu Nawas dan pelbagai produk kebudayaan dan nasyid dari kumpulan nasyid Global Ikhwan.

Pelbagai acara akan diserikan dengan persembahan nasyid kontemporari dari kumpulan nasyid Global Ikhwan dan penasyid terkenal MEL.

Kemasukan adalah percuma sepanjang expo termasuk persembahan kebudayaan Islam dan Nasyid.

JADUAL SEPANJANG 3 HARI ADALAH:

1 OGOS 2008 (HARI JUMAAT)


8.00pagi : ketibaan tetamu

9.00 pagi : Nasyid pembukaan , Persembahan Kebudayaan & deklamasi sajak

10.00 pagi : Kata-kata aluan GISB & tetamu kehormat

11.00 pagi : Tetamu mengunjungi gerai(acara pentas)

11.30 pagi : Jamuan makan VIP

12.00 t/hari : Berhenti rehat memberi laluan solat Jumaat

5.00 petang : kuiz bersama pengunjung

9.00 malam : Forum Ekonomi Islam & persembahan muzikal Islam oleh artis : Mel, Syeqal, kumpulan Irfan, Alhaura

2 OGOS 2008 (HARI SABTU)

9.00 pagi : Persembahan Nasyid

10.00 pagi : Pendaftaran peserta

10.30 pagi : pertandingan melukis
dan mewarna
(selingan nasyid)
- pertandingan memasak bubur lambuk antara qariah masjid kawasan Tanjong Karang / Kuala Selangor
- Kaunseling keibubapaan (Muslimah)

12.30 t/hari : Penyampaian hadiah

3.00 petang : Meraikan ibu tunggal dan anak yatim

4.00 petang : Slot usahawan berjaya

5.00 petang : Pelancaran Expo oleh YBhg Dato’ Haji Noh bin Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

9.00 malam : Persembahan muzikal Islam oleh artis iaitu Mel, Syeqal, kumpulan Irfan dan Al-Haura

3 OGOS 2008 (HARI AHAD)

9.00 pagi : Nasyid dan pendaftaran

9.30 pagi : Sukaneka
- Kaum Bapa
1) Lari dalam guni
2) Tarik tali
Kopek buah kelapa

- Kaum Ibu
1) Meraut lidi kelapa
2) Membuat sandwich

- Remaja
1) Isi air dalam botol

11.30 pagi : Persembahan tarian sufi

12.00 t/hari : Penyampaian hadiah

3.00 petang : Demonstrasi silat dan bomba

5.00 ptg : Slot untuk muslimah

9.00 malam : Persembahan teater & nasyid penutup

Jika anda ingin mengikut serta dalam expo tersebut, atau membuka gerai, atau maklumat tambahan tambahan sila hubungi:

TANJONG KARANG:
En Sazaly 019-2263198
En Bohari 013-6610664
En Hamdan 019-2469389

SHAH ALAM:
En Abbdul Rahman Said 019-244 5655
En Idris Bidin 012-5625266

BANGI:
En Hasnan 019-6695367

BANTING:
En Mohsin Abdul Jalil 019-2155367

BUKIT BERUNTUNG:
En Azhir Ismail 013-2979059

GOMBAK DAN ULU KELANG:
En Sulaiman Din 016-7205313

SELAYANG:
En Abdul Karim Ismail 019-3660613